Isnin, 15 Mac 2010

SEDAPNYA KEK!!!!



Sekarang musim cuti persekolahan.. mungkin ramai yang mengadakan majlis perkahwinan dan juga majlis pertunangan....

ABAD ini, kebanyakan kek perkahwinan dihasilkan sebagai karya agung kepada si pembuat kek selain nilai ‘sentimental’ kek tersebut kepada pasangan mempelai.

Ini disebabkan jika kek tersebut kelihatan menarik dan gah, ia memberi publisiti positif kepada si pembuatnya. Tetapi jika sebaliknya, ia menjadi tamparan hebat pada kerjaya si pembuat.

Sejarah penghasilan kek bermula dengan pelbagai cerita dari Barat. Kek perkahwinan bertingkat mula mendapat perhatian ketika diilhamkan oleh seorang chef pastri, William Rich pada awal tahun 1800 dengan menggarap seni bina neo klasikal pada kek perkahwinan tradisional di gereja St. Bride’s – sebagai simbol tuah dan kesuburan.

Menyingkap sejarah pengaruh kek perkahwinan pada zaman silam Rom, pengantin akan menggigit sedikit kek sebelum bakinya diramas di atas kepala bagi memastikan pengantin dilimpahi tuah dan kesuburan manakala di kalangan masyarakat Yahudi pula, pengantin perempuan akan membuang gandum dari atas jambatan sebagai simbol kesuburan.

Semasa pemerintahan Queen Elizabeth 1, ‘kek utama pengantin’ cuma ban manis kismis yang diletakkan di tengah meja utama pengantin sebagai centrepiece.

Kira-kira satu abad kemudian, orang Perancis membekukan ban tersebut sebagai simbol cenderamata.

Bagaimanapun, pengaruh kek perkahwinan Perancis mula berhijrah ke England apabila Charles II kembali ke England pada tahun 1669 dengan membawa bersama chef-chef Perancis yang terkenal bijak menata kek perkahwinan yang diperbuat daripada kek buah serta disalut indah dengan gula.

Kek tradisional Perancis menampilkan kek buah untuk pengantin lelaki manakala kek yang berhias gula nipis pula sering mewakili pengantin perempuan.

Sebelum tahun 1900, kek perkahwinan terlalu sukar untuk dihasilkan. Ia bukan sekadar masalah yang timbul ekoran kekurangan alat peralatan untuk menghias kek malah cara penyediaan kek juga dikatakan agak mencabar.

Pada abad ke-19, masalah lain ialah terlalu banyak gula terpaksa digunakan sesuai dengan pengaruh kek ala Victorian yang mementingkan kemanisan melampau.

Kaedah penghasilan kek dengan menggunakan telur yang dipukul gebu bermula pada tahun 1856 hingga 1870, bagaimanapun ia dipraktikkan hanya di rumah. Sekitar 1970-an penggunaan acuan kek atau loyang baru diperkenalkan untuk memudahkan kek dibakar mengikut bentuk yang diingini.

Ranjaunya, untuk menghasilkan kek ketika itu menuntut chef pastri di restoran yang terkenal di New York, Delmonico’s terpaksa berkorban masa selama lima jam untuk membakar sebiji kek! Justeru, kek perkahwinan bukan sekadar satu transisi malah mencipta budaya tersendiri dalam sesebuah masyarakat.

Pengaruh kek perkahwinan khususnya kek tiga tingkat, memberi makna yang cukup besar pada masyarakat Barat khususnya di Perancis.

Kek paling bawah untuk dinikmati oleh semua tetamu, kek tengah untuk diberikan kepada teman-teman yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut manakala tingkat teratas untuk pasangan yang akan membaptiskan cahaya mata pertama mereka.

Pengaruh kek perkahwinan ala Victoria tercetus apabila masyarakat mula menyediakan tiga kategori kek pada setiap majlis perkahwinan iaitu kek perkahwinan, kek pengantin lelaki dan kek pengantin perempuan.

Kek perkahwinan hanya untuk dipamerkan di meja utama. Seandainya kek perkahwinan yang dipotong pengantin buat kali pertama adalah kek buah, kek itu akan disimpan sehingga sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25.

Terdapat kepercayaan karut mempengaruhi masyarakat Barat kuno, antaranya pasangan pengantin dilarang makan kek sebelum dipotong bersama pasangan pada acara memotong kek kerana jika berbuat demikian pengantin perempuan dikatakan akan kehilangan suami!

Kepercayaan karut lain pula, pasangan pengantin hendaklah memotong kek bersama-sama jika tidak, mereka akan kecewa untuk mendapat cahaya mata.

Warna kek turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan masyarakat Barat. Kek pengantin lelaki biasanya berwarna agak gelap manakala kek daripada pengantin perempuan berwarna putih.

Uniknya dalam kek pengantin perempuan Barat kuno, barangan aksesori lain seperti duit syiling, cincin, jidal dan butang akan dimasukkan ke dalam kek sebelum kek tersebut dibakar - lambang kekayaan, cinta yang abadi dan kasih sayang kepada pengantin lelaki yang menerimanya manakala kek daripada pengantin lelaki pula dihias dengan cincin.

Kemewahan kek ditampilkan secara jelas melalui seni hiasan royal aising yang dipaip indah membentuk renda malah ada ketikanya setiap kek dilimpahi lebih 300 hiasan royal aising yang memukau mata.

Pada tahun 1920 juga menyaksikan kemunculan warna emas pada kek perkahwinan. Motifnya pula lebih berupa seni bina banglo yang dihasilkan daripada simen plaster.

Bermula tahun 1930-an, warna kek perkahwinan turut dipengaruhi aliran fesyen pengantin apabila kebanyakan pengantin memilih warna kek yang sedondon warna gaun pengantin perempuan.

Selain kek perkahwinan, kek pertunangan juga mula diilhamkan pada tahun 1920 dan agak popular sekitar 1930-an.

Bagaimanapun pada tahun 1955, kebanyakan kek perkahwinan mementingkan warna yang putih bersih hinggakan si pembuat kek terpaksa meletakkan bahan pemutih untuk menghasilkan warna putih yang diimpikan.

Sehingga kini, kek perkahwinan yang paling popular mempunyai ketinggian lapan kaki, dihiasi 3,000 kuntuman bunga bersalut pes gam gula.

Di Malaysia, tanpa mengira kaum kebanyakan pasangan pengantin memilih kek sebagai simbol kemanisan, romantis dan kasih sayang pada majlis perkahwinan yang dianggap cukup bermakna.

“Dalam masyarakat hari ini pemberian kek bukan lagi sesuatu yang asing tetapi antara koleksi paling indah untuk dikenang. Kek adalah simbol kemanisan dan barangan pemberian seperti ini amat bermakna dalam sesebuah perhubungan.




Tiada ulasan: