Jumaat, 5 Mac 2010

NATRAH-CINTA.PERJUANGAN DAN AIRMATA


Natrah (1937-2009) Nadra@Hurbedina Maria Hertogh@Bertha mengegarkan Singapura pada 1950 sehingga mendapat perhatian seluruh dunia.

Rusuhan pada 12hb Disember 1950 di Singapura ekoran keputusan Mahkamah mengarahkan Natrah di hantar pulang ke Belanda selepas lapan tahun dibesarkan oleh ibu angkatnya,Che Aminah Mohamad sebagai muslim di Kemaman Terengganu.

Sebelum ini tidak pernah diberi perhatian selama ini apabila kes Natrah diperkatakan iaitu agenda penjajah, Inggeris dan Belanda dalam mengembalikan maruah mereka yang tercalar oleh kekalahan baik di Tanah Melayu mahupun Indonesia.

Malahan agenda penjajah berhubung rusuhan terbabit turut mendedahkan betapa kes Natrah menjadi punca penyatuan penduduk Islam pelbagai bangsa di Singapura tanpa mengira fahaman politik mereka untuk bangkit menentang penjajah.

Rusuhan yang mengakibatkan 18 terbunuh dan beratus-ratus cedera selepas mahkamah memutuskan Natrah dikembalikan kepada bapa kandungnya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, mendapat sokongan daripada negara yang berjiran dan penduduk Islam seluruh dunia.

Natrah yang dilahirkan di Bandung pada 24 Mac 1937 terpaksa diserahkan ibunya, Adeline kepada Che Aminah ketika kanak-kanak itu berusia lima tahun selepas bapanya yang berkhidmat dengan tentera Belanda di Jawa, menjadi tahanan Jepun.

Wanita berketurunan bangsawan dari Terengganu yang menetap di Jawa dan fasih berbahasa Jepun itu bersetuju dengan tawaran Adeline atas dasar kemanusiaan dan ketika perasaan antipenjajah memuncak, membuat keputusan membawa pulang Natrah ke negeri asalnya demi menyelamatkan kanak-kanak malang terbabit.

Di Kemaman, Natrah dibesarkan sebagai Muslim dan dilimpahkan dengan kasih sayang serta kemewahan sehingga tidak dibenarkan membuat sebarang kerja rumah, tetapi tetap diberi pendidikan tegas, pegangan agama yang kuat dan hidup dalam lingkaran adat budaya Melayu.

Langit tidak selalunya cerah apabila Pentadbir British di Wilayah Timur, A A Locke melihat Natrah ketika menyertai pertandingan senaman anjuran Jabatan Pelajaran Negeri sehingga mendorong pegawai Inggeris itu menyelidiki latar belakang Natrah dan mengunjungi rumah Che Aminah tetapi menyembunyikan muslihat sebenarnya.

Kesan pertemuan itu apabila Locke memperdayakan Che Aminah agar membawa Natrah ke Singapura bagi membincangkan hak penjagaan Natrah dengan Konsul Jeneral Belanda dan berjanji menyokong serta membiayai keperluan Che Aminah untuk menyelesaikan masalah pemilikan itu.

Che Aminah yang tidak menyedari muslihat jahat penjajah sehingga bersetuju membawa Natrah ke Singapura yang berada di bawah tadbir British sehingga memudahkan usaha ‘merampas’ Natrah demi maruah penjajah dan serentak itu undang-undang Islam diperkotak-katikkan.

Che Aminah cuba membawa Natrah pulang semula ke Kemaman selepas disogok pegawai Konsul Jeneral Belanda yang menawarkan wang ganti rugi S$500 kepadanya agar melepaskan anak angkatnya, tetapi sebelum sempat bertindak, beliau menerima surat daripada Ketua Hakim Mahkamah yang mengarahkan Natrah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura (JKMS) ekoran surat saman 124 Konsul Jeneral Belanda.

Ketika Natrah ditempatkan di Girls Homecraft Centre, Che Aminah berusaha mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan afidavit untuk membatalkan tindakan mahkamah melalui peguamnya, Ahmad Ibrahim, sehingga gadis itu yang berusia 13 tahun ketika itu dipulangkan semula kepada ibu angkatnya itu.

Kemenangan Che Aminah dilihat sebagai anugerah Allah bukan saja kepada wanita itu, bahkan bangsa Melayu dan agama Islam, tetapi wanita bangsawan itu sekali lagi tersilap percaturan apabila menikahkan Natrah dengan Mansor Adabim anak kawan baiknya di Singapura sebagai usaha menyelamatkan mereka.

Disini dapat di lihat dengan jelas bagaimana ketidakadilan dibentangkan dalam perbicaraan di mahkamah, sekali gus menyorot perjuangan umat Islam yang bersatu hati untuk menyelamatkan maruah agama sehingga semua masyarakat Muslim Singapura bersatu untuk menyelamatkan nasib Natrah.

Press turut mendedahkan Laporan Suruhanjaya Kes Natrah yang menyalahkan polis Melayu apabila rusuhan tercetus tidak benar dan hakikatnya provokasi penjajah yang melampau batas terhadap agama Islam melalui laporan akhbar milik mereka.

Natrah meninggal dunia pada Julai 2009 lalu .Masyarakat Melayu-Islam yang berasa terhina dengan provokasi akhbar penjajah, akhirnya bersatu menentang penjajah Inggeris sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan beban rusuhan nyata memberi tekanan perasaan yang maha hebat kepada Natrah hingga keliru terhadap Islam sehingga ke akhir hayatnya.

Kisah Natrah ini memberi impak yang amat besar supaya kita sama-sama dapat membendung isu murtad di kalangan masyarakat Islam dan menarik perhatian pihak berkenaan untuk memberi perhatian kepada undang-undang hak penjagaan anak dan perkahwinan pasangan yang berlainan agama.

Tiada ulasan: