Selasa, 20 April 2010

KEBEJATAN SOSIAL MENUNDUKKAN IMAN


SEJAK akhir-akhir ini saban hari masyarakat disajikan dengan segala macam laporan mengenai kebejatan sosial di kalangan anak muda sehingga tercetus pelbagai polemik dan konflik. Penagihan dadah, pergaulan bebas, seks luar nikah, buang bayi dan sebagainya merupakan sebahagian daripada natijah daripada kemusnahan akhlak sebilangan golongan muda ini. Satu lagi gejala yang semakin menular ialah bersekedudukkan iaitu pasangan kekasih yang tinggal serumah tanpa sebarang ikatan yang sah sehingga melahirkan anak-anak luar nikah.

Gejala-gejala ini seolah-olah menggambarkan masyarakat hari ini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dan batas-batas agama dalam membuat sebarang tindakan.Ramai yang berasa cemas kerana impak yang ditinggalkan bagaikan suatu kerosakan yang sukar untuk dibaik pulih. Terbukti apabila baru-baru ini pendedahan bahawa jumlah anak tidak sah taraf yang didaftarkan meningkat kepada 17,303 di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu purata 47 orang sehari. Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun 2008 seramai 16,541 manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.Angka tersebut meliputi anak-anak yang lahir di luar perkahwinan atau anak luar nikah. Sebab itu dalam situasi ini Islam memandang berat kesalahan zina sebagai antara dosa besar kerana ia mendatangkan pelbagai keburukan.

Kesannya ditanggung dalam tempoh lama, sedangkan nikmatnya sekejap. Angka tersebut juga bagaikan memberi 'isyarat' kepada masyarakat keseluruhan bahawa ia bukan isu yang harus dipandang ringan. . Gejala sosial adalah suatu gejala yang telah mengakibatkan berlakunya ketidaktentuan sistem kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara. Malah ada antara pasangan melakukan tanpa segan silu seakan tidak takut dengan hukuman atau balasan terhadap perbuatan keji itu. Namun jelas, mereka yang berbuat sedemikian sebenarnya tidak berfikir panjang sebaliknya hanya mahu menikmati keseronokan semata-mata. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan duniawi dicapai tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan tersebut.

Golongan tersebut perlu membuat penilaian kesan daripada perbuatan mereka itu. Sekiranya melahirkan anak luar nikah, keadaan ini menjadi lebih parah memandangkan status anak yang dilahirkan itu tidak mendapat sah taraf menyebabkan hak anak itu dinafikan, tindakan tersebut akan menyebabkan anak yang dilahirkan akan berasa rendah diri dan sekali gus menjejaskan kehormatan diri anak tersebut.

Hal ini akan menyebabkan anak berkenaan berasa dirinya dipandang hina oleh masyarakat ekoran kesilapan ibu bapa mereka sedangkan anak itu sendiri tidak bersalah, pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan ini sebenarnya tidak mampu merasai nikmat sebenarnya bahagia berumah tangga. Mungkin pada fizikal mereka nampak bahagia namun hakikatnya mereka tidak boleh menandingi kebahagiaan yang hakiki seperti dalam perkahwinan yang sah. Malah wujud perasaan kurang selesa pada diri masing-masing ekoran tindakan salah yang mereka lakukan, Islam adalah agama yang adil dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.

Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di dunia ini berpasangan lelaki dan perempuan bermula daripada Nabi Adam dan Hawa lagi. Undang-undang yang tertua sekali bagi manusia adalah undang-undang perkahwinan dan kekeluargaan. Undang-undang ini berkembang. Ia memberi dasar yang mesti dipatuhi oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Dalam perkahwinan ada tiga perkara penting yang harus dititik beratkan iaitu kasih sayang, hubungan suami isteri dan juga komitmen.Pasangan yang tinggal bersama tanpa sebarang ikatan yang sah sebenarnya mahukan keseronokan semata-mata tanpa mahu memikul tanggungjawab serta komitmen.

Dalam al-Quran sendiri telah menjelaskan umatnya yang berkahwin akan dibukakan pintu rezeki terhadapnya. Malah jiwa akan menjadi lebih tenang daripada hanya berlakon menjadi suami isteri. Biarpun wanita dilahirkan lemah namun tidak seharusnya mereka mengikut segala kehendak dan telunjuk lelaki demi membuktikan rasa cinta dan kasih terhadap seseorang. Bagaimanapun tindakan yang tidak bermaruah dengan bersekedudukkan bersama seorang bukan muhrim itu hanyalah merugikan masa sahaja. Bukan sekadar merugikan masa tetapi hidup juga tidak diredai oleh Allah, malah dosa pasangan bersekedudukkan turut ditanggung ibu bapa mereka termasuk masyarakat jika membiarkan perbuatan terkutuk itu terus berlaku.

Punca utama yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral adalah kerana tidak ada didikan agama. Apabila hal seperti itu berlaku, seseorang tidak akan takut kepada balasan Allah. Faktor utama yang boleh menyekat seseorang daripada melakukan kejahatan ialah iman yang membolehkan seseorang itu takutkan Allah. Dengan iman, seseorang itu akan sentiasa dalam kawalan Allah, menyebabkan segala tindak-tanduknya mempunyai sempadan yang tidak boleh dilangkaui.

Anak-anak yang tidak mempunyai didikan agama lumrahnya lahir daripada keluarga yang tidak mementingkan agama. Ini terjadi kerana keluarga itu sendiri tidak memahami keperluan agama. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ketua keluarga lebih menumpukan perhatian dan menghabiskan tenaga untuk mencari nafkah. Akibat daripada sikap ibu bapa seperti ini, anak-anak akan lebih cenderung dipengaruhi oleh orang sekeliling seperti teman-teman sebaya dan sebagainya. Anak-anak seperti ini merasakan bahawa diri mereka ada suatu kekosongan yang mesti dipenuhi, yang wujud pada diri setiap orang, iaitu kasih sayang.

Bagaimanapun kes-kes keruntuhan moral yang melibatkan bersekedudukkan ini ialah kerana keberanian pasangan perempuan menerima ajakan temannya tidur bersama. Apabila seorang perempuan itu berani dibawa balik ke rumah lelaki di tengah malam, atau ke hotel, sama ada dengan paksaan, separuh paksa atau mungkin dengan kerelaan diri, perempuan tersebut seumpama terjebak dalam perangkap.Malah, mereka yang terlibat sering tunduk dengan pujuk rayu terutamanya janji-janji untuk berkahwin. Cara menawan pasangan perempuan melalui pujuk rayu, tipu helah dan janji-janji manis seperti inilah yang paling banyak berlaku, yang berakhir dengan persetubuhan haram ataupun zina.


........................................................................................................................................

Tiada ulasan: