Selasa, 10 Jun 2014

DONGENG PAHLAWAN MALANG


Kisah dari dongeng ni kadang buat aku teringat masa dulu-dulu waktu persekolahan. Seronok juga walaupun cerita - cerita ni kadang-kadang tak masuk akal. Apapun tiada kena mengena dengan sesiapa baik yang hidup mau pun yang telah tiada..


Zaman dahulu di negara Jepun hidup seorang Samurai  bernama Hido. Walaupun dia seorang yang gagah dan berani, tetapi dalam kesemua pertempuran yang disertainya, pihaknya sentiasa tewas. Oleh kerana itu penduduk bandar Hido tinggal mula membuat cerita tentangnya.
" Hido bawa sial," kata orang ramai.

Memandangkan tidak seorang pun yang ingin mengambilnya pergi berperang Hido menjadi seorang Samurai yang miskin.
"Baik aku pergi ketempat lain di mana orangnya tidak mengenaliku," kata Hido  kepada dirinya. " Mungkin aku boleh dapat kerja di sana,"
Pada suatu hari Hido pun mengemas barang-barangnya termasuk, pedang, busur serta tiga anak panah lalu berjalan ke arah barat.
Setelah berjalan beberapa hari dia pun sampai di tebing sebuah tasik. Terdapat sebuah jambatan panjang yang sempit menyeberangi tasik itu. Hido pun berhenti seketika dan berjalan atas jambatan itu dengan berhati-hati. Tetapi beberapa minit kemudian langkahnya terhenti akibat terperanjat. Dihadapannya berlengkar sekor ular yang amat besar lagi panjang. Ular itu sedang tidur tetapi dari mulut dan hidungnya keluar asap merah yang berbau busuk.

" Haiwan ini tidak akan menjadi penghalang kepada pengembaraanku," kata Hido lalu melangkah ular itu dengan perlahan, takut ia terjaga. Tetapi belum sempat 20 meter Hido berjalan pergi, dia mendengar satu suara di belakangnya




" Hoi, awak!  Samurai!.
Hido menoleh ke belakang untuk melihat siapakah yang menegurnya. Dia menjadi hairan apabila mendapati ular raksasa tadi telah hilang tetapi sebaliknya di tempatnya berdiri seorang lelaki yang berpakaian kemas.
" Awak seorang yang sungguh berani! Awak langsung tidak takut kepada ular tadi'"  kata lelaki itu.
" Sebenarnya saya memang sedang mencari seorang Samurai. Oleh itu setiap kali saya melihat orang akan menyeberang tasik ini, saya akan bertukar menjadi ular."
"Setelah beberapa ramai yang datang hanya awak seorang yang mempunyai semangat dan keberanian untuk melangkah. Apakah nama awak?"

" Hido, dan siapakah awak yang sebenarnya!"
" Saya adalah raja Raja kerajaan di sini," kata lelaki itu sambil menunjuk ke arah tasik yang luas itu.
"Apa!" kata Hido kehairanan sambil tunduk hormat . " Kerajaan Tuanku adalah sebuat tasik?"
" Ya, tetapi di dasar tasik ini terdapat sebuah bandar yang besar dalam sebuah bola kristal. Rakyat saya  hidup makmur di dalamnya. Tetapi sejak akhir-akhir ini kami di ganggu oleh seekor naga yang ganas."
" Seekor Naga?" tanya Hido.

" Ya," kata Raja itu dengan nada yang sedih. " Setiap dua hari naga itu akan masuk kedalam bola kristal itu pada sebelah malam dan menyerang bandar kami. Mungkin tidak lama lagi akan hapuslah kami semua. Itulah sebabnya saya mencari seorang Samurai yang dapat membunuh naga itu,"
" Kalau begitu Tuanku mahu saya melawan naga itu?. tanya Hido.

" Ya, kalau awak setuju!"
" Saya rasa Tuanku patut tahu bahawa orang-orang tempat saya tinggal percaya bahawa saya membawa nasib malang," kata Hido.

" Beta tidak percaya kepada  apa yang beta dengar tetapi kepada apa yang beta lihat. Marilah ikut Beta,"
Dengan tiba-tiba terbentuk satu lubang pada air tasik itu dan mereka berdua pun turun ke dasarnya lalu masuk ke dalam bola kristal. Sampai saja di sana Raja menyuruh Hido berehat. Kemudian di panggil untuk makan bersama Raja itu.

" Mungkin sebentar lagi awak akan mendengar satu bunyi yang kuat seperti bunyi guruh," kata Raja itu. " Itulah bunyi naga yang beta maksudkan. Awak mestilah menentangnya diatas sana sebelum dia terjun dari jambatan itu, Hido."

" Baiklah," kata Hido. " Walaupun besar dan ganas, saya tidak takut sedikitpun. Saya akan bawa pedang, busar dan tiga anak panah saya ini," katanya dengan tegas menunjuk berani.

" Mengapa tiga anak panah saja?" tanya Raja itu kehairanan. " Awak perlukan satu ratus anak panah untuk menghapuskan naga itu.!"

" Anak-anak panah ini telah di bubuh racun," kata Hido penuh yakin. " Tetapi seandainya ia tidak mati setelah terkena tiga anak panah, maka sayalah yang akan mati di baham naga  itu!".kata Hido, " Mengapa pula saya perlukan 100 anak panah. Saya pasti tidak mempunyai masa untuk memanah begitu banyak sekali ."

Ketika mereka sedang berbincang itu, kedengaran satu bunyi yang kuat dari atas dan suara orang menjerit-jerit.

"Naga! Naga! Naga!"

Tanpa membuang masa Hido bingkas bangun lalu berlari naik ke atas permukaan tasik dengan membawa senjatanya. Sebaik saja Hido berada di atas jambatan melintasi tasik itu, dilihatnya seekor naga yang besar dan bengis berjalan ke arahnya. Ia mengeluarkan bunyi yang amat kuat dan dari hidungnya keluar api yang besar.
Tanpa berlengah-lengah Hido pun memanah ke arah naga itu. Betul-betul kena pada jantungnya. Dia kemudian memanah lagi di tempat yang sama. Tetapi naga itu terus berjalan menuju ke arahnya menjadikan dia tergamam.

Kini naga betul-betul berdiri berhadapan dengan Hido. Hanya beberapa meter saja jarak antara mereka.
Namun Hido tidak merasa takut sedikitpun. Kemudian dia teringat akan kata orang-orang tua bahawa racun yang dapat membunuh naga hanyalah air liur manusia.

Maka dengan cepat Hido pun menjilat jarinya lalu membasahkan mata anak panahnya yang terakhir itu dengan air liurnya. Dia pun terus memanah naga itu dengan penuh keyakinan.Alangkah mendebarkan sekali bagi Hido pada waktu itu kerana naga itu tidak juga mati malah terus menuju kepadanya. Dia tidak berbuat apa-apa melainkan menunggu naga itu menerkamnya.

" Nampaknya matilah aku pada hari ini," kata Hido di dalam hatinya.

Tetapi setelah melangkah dua tiga tapak, naga itu berhenti. Badannya bergoyang kekiri dan kanan dan kemudian jatuh lalu mati.

Setelah melihat naga itu mati di bunuh Hido, semua rakyat dalam tasik itu pun keluar beramai-ramai untuk mengucapkan tahniah kepadanya. Mereka juga memberi banyak hadiah kepada Hido.

Mereka berkata, "Wahai Samurai yang berani, kini engkau mempunyai tuah dan nasib yang baik."
Hido pun turut ketawa gembira dan dalam hatinya berkata: "Syukurlah kerana nasib malang pada diriku  kini telah hilang dengan kematian naga itu."


Moral yang diambil dari cerita ini.. jangan mengaku kalah sebelum berjuang.

***********************






Tiada ulasan: