Isnin, 9 Jun 2014

BATU AJAIB

Assalamualaikum.wbt..

Aku dah tak ada idea nak tulis cerita apa dalam blog aku ni. Ingat nak tulis cerita donggeng zaman dulu kala. Rasa-rasanya boleh juga menghiburkan hati aku dikala kesunyian bila aku rasa boring. Tetapi kira OK la kan sebab cerita donggeng ni pun bukan betul-betul cuma adakalanya boleh membuat kita  terfikir akan logik akal dan logik tahyul. Harap boleh di terima oleh pembaca semua.


PADA zaman dahulu di Kenya, sebuah negara Afrika, tinggal dua beradik bernama Metusera dan adiknya bernama Joseph. Metusera adalah seorang saudagar garam. Ia tinggal di sebuah pulau yang terletak di Tasek Victoria yang amat luas. Pulau ini mempunyai banyak garam. Dia menjadi kaya dengan menjual garam kepada kaum Kisii yang tinggal sekitar tasik itu.

Joseph sebaliknya hanyalah seorang petani miskin. Dia sudahpun beristeri dan mempunyai tujuh orang anak. Memandangkan iklim Kenya yang jarang menerima hujan, maka tanaman Joseph kurang subur. Maka hidupnya semakin miskin.  Suatu hari apabila pulang dari ladang, Joseph melihat isterinya menangis teresak-esak, sambil duduk di sebelah isterinya dia bertanya, "mengapa kamu menangis. Adakah kamu sakit?".
"Saya tidak sakit tapi sedih mengenangkan anak-anak kita yang kelaparan," jawab isterinya. "Adakah awak mahu mereka mati kebuluran?" tanya isterinya pula sambil mengesat air mata."Kita sudah tidak mempunyai sebarang makanan lagi. Lembu kita sudah tidak mengeluarkan susu. Untuk di makan ia terlalu kurus. Tanaman kita pula semuanya mati termasuk pokok jagung yang biasanya mudah hidup."
"Benar kata kamu itu tetapi bersabarlah. Mungkin esok atau lusa hujan akan turun," kata Joseph cuba memujuk isterinya. Tetapi isterinya terus menangis.

"Cuba awak pergi berjumpa Metusera," gesa isterinya. "Pinjamkan sedikit wang daripadanya. Tentu dia boleh pinjamkan kita sedikit wang kerana dia sangat kaya. Boleh kita beli makanan untuk anak-anak kita."
"Tidakkah kamu tahu wahai isteriku abangku hanya cintakan wang dan harta benda?" tanya Joseph. "Dia juga kedekut orangnya. Dari terbit matahari hingga ke senja kerjanya hanya mengira wang. "Saya tidak yakin dia akan meminjamkan wang untuk kita, walaupun kita boleh membayarnya semula suatu hari nanti. Tetapi kita sendiri tahu kita juga tidak dapat membayar pinjaman yang akan diberinya walau sedikit sekalipun.

Tetapi isterinya menangis dan tetap berdegil: "Cubalah wahai suamiku.  "Bukankah dia abang awak. Mungkin dia akan meminjamkan awak sedikit wang. Jika tidak kita semua akan mati kebuluran,". Akhirnya Joseph bersetuju untuk meminjam wang daripada abangnya dan petang itu dia pun pergi menuju ke pulau kediaman Metusera. Perjalanan Joseph ke Tasek Victoria melalui tanah lapang yang kering kontang. Tidak banyak binatang ditemuinya. Pokok-pokok banyak  yang mati. Hanya beberapa batang sahaja yang hidup tetapi menanti saat untuk rebah ke bumi.

Sekali sekala angin dari arah tasik bertiup mengakibatkan mata Joseph  dimasuki habuk dan pasir. Namun begitu dia terus berjalan di bawah pancaran matahari terik. Sebelum matahari terbenam, dia pun sampai ke tasek itu. Memandangkan hari mulai gelap, Joseph pun bermalam di tepi tasik itu. Keesokkannya Joseph pun terus membuat sebuah rakit untuk pergi kepulau kediaman Metusera. Dia memotong beberapa pokok kecil yang telah tumbang lalu mengikat batang pokok itu denganrumput-rumput yang kasar dan liat.
Siap  saja rakit itu, Joseph pun terus berdayung menuju ketempat tinggal abangnya Metusera. Sampai saja dia di pulau itu Joseph terus pergi kerumah abangnya. Sewaktu sampai ke rumah Metusera, dilihat abangnya sedang mengira begitu banyak wang di atas meja. Wang-wang syiling tersusun begitu banyak sekali.

Apabila Metusera terlihat Joseph sedang berdiri di pintu rumahnya, cepat-cepat dia mengambil sehelai kain besar lalu di tutup wang-wangnya yang terletak di atas meja itu.
 "Apa kau buat di sini?. tengking Metusera.
Joseph tidak menjawab tetapi berjalan menuju ke arah abangnya. "Abang, aku perlukan bantuan," kata Joseph lemah. "Hujan tidak turun begitu lama dan tanamanku semua tidak menjadi. Aku tidak mempunyai wang untuk membeli makanan kerana anak-anak dan isteriku kini kelaparan. Tolonglah pinjamkan aku sedikit wang. Aku akan cuba membayarnya secepat mungkin.".

Metusera ketawa mendengar kata-kata adiknya itu. "Jangan harap aku akan memberi kau walau satu sen pun." Jerkah Metusera."Jika aku beri sedikit dari wangku bermakna akan berkuranglah wang ini. Kau sendiri tahu aku gemar mengira wang."  "Kau memang pemalas itulah sebabnya kau miskin. Tetapi aku akan berikan sesuatu untuk menunjukkan bahawa aku seorang yang baik hati.  Sepatutnya orang seperti kau tidak layak untuk menerima sebarang benda pun.  "Nah, ambil sebuku roti ini dan jangan datang ke sini lagi," kata Metusera sambil menghulurkan sebuku besar roti yang telah hapak.

Dengan perasaan sedih, Joseph mengambil roti itu. Dia pun mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Dalam perjalanan pulang Joseph bertemu dengan seorang tua berjanggut putih. Pakaiannya cumpang camping.  "Apakah yang kamu bawa itu," tanya orang tua itu sambil menunjuk kepada sebuku roti di tangan Joseph.

 "Hanya sebuku roti hapak, pakcik," jawab Joseph.
"Sudah tiga hari pakcik tidak makan. Bolehkah berikan pakcik sedikit roti itu?. pinta orang tua itu.

"Tetapi keluarga saya amat memerlukan roti ini," kata Joseph kepada orang  tua itu.

Namun demikian Joseph amat mengasihani orang tua itu. "Kalau tidak dapat makan tentu orang tua itu akan mati," kata hati Joseph. Diapun terus menghulurkan setengah dari roti di tangannya itu.

" Terima kasih banyak-banyak," kata orang tua itu. "Kau sangat baik hati dan oleh kerana kebaikan kamu itu, aku  akan menolong kamu."
Kemudian dia mengeluarkan seketul batu bulat dari kocek bajunya.
" Batu ini akan memberi kamu apa sahaja yang kamu mahu," kata orang tua itu. " Namun demikian mintalah dengan bijak."

Joseph pun mengucapkan terima kasih kepada orang tua itu lalu meneruskan perjalanannya. Setelah beberapa langkah, dia menoleh ke belakang. Alangkah terperanjatnya apabila di dapatinya orang tua itu tiada. Sejenak itu Joseph terus berlari hingga sampai ke rumahnya. Bukan kerana takut tetapi teringat akan keluarganya yang sedang kelaparan. Sampai sahaja di rumah, Joseph mendapati isteri dan anak-anaknya berbaring di lantai tidak bertenaga. Cepat-cepat dia memberi mereka makan roti yang di bawanya itu. Setelah keluarganya agak segar semula, Joseph menceritakan tentang orang tua yang ditemuinya itu termasuk tentang batu pemberian orang tua itu.

" Kalau begitu eloklah kita minta makanan," kata isteri Joseph. " Kerana kita semua kelaparan."
"Wahai batu berilah kami makanan," kata Joeph. Dengan sekelip mata rumah Joseph penuh dengan berbagai makanan. Di luar rumahnya pula pokok buah-buahan hidup subur dengan buah-buahan yang lebat. Sayur-sayuran juga tumbuh dengan subur. Lembunya yang kurus itu bertukar menjadi gemuk.

Sesaat itu juga lima anak lembu muncul bersama dengan sepuluh ekok ayam kesemuanya mengeluarkan telur.  Keluarga Joseph sungguh gembira dengan apa yang berlaku. "Apakah yang hendak diminta lagi?". tanya isteri Joseph.

"Jiran-jiran kita juga sedang kekurangan makanan," jawab Joseph. "Baik kita minta makanan untuk mereka."

Tidak lama kemudian halaman dan kebun jiran-jiran Joseph juga penuh dengan pokok-pokok buah-buahan dan sayur-sayuran subur.

" Anak-anak kita tidak mempunyai baju dan kasut," kata isteri Joseph. " Cuba minta barang-barang itu pula."
Dengan sekelip mata juga, pakaian dan kasut yang banyak tersusun di dalam rumah Joseph.

Berita tentang Joseph yang menjadi kaya dengan mendadak tersebar dengan begitu cepat dan sampai kepada pengetahuan Metusera yang berada di pulaunya itu. Metusera menjadi marah dan irihati mendengar adiknya kini lebih kaya daripadanya.  Oleh itu dia berhasrat untuk mencuri wang dan harta benda Joseph. Tanpa membuang masa, Metusera pun menaiki perahunya untuk kedarat. Dia kemudian terus menuju kerumah Joseph. Sampai sahaja di sana dia terus mengintai melalui tingkap.

Kebetulan ketika itu Metusera melihat Joseph mengeluarkan batu ajaibnya dari kocek bajunya dan kemudian berkata "Aku minta sebuah sekolah baru dari batu bata."  Sesaat itu sebuah sekolah telah muncul berdekatan rumahnya. Selepas itu batu itu di simpannya di bawah bantal.

"Begitu rupanya dia menjadi kaya," kata Metusera dalam hati. " Aku mesti mencu"ri batu ajaib itu."
Selepas itu Metusera pergi bersembunyi di kebun Joseph sementara tibanya malam. Setelah hampir tengah malam Metusera datang semula ke rumah Joseph. Dia pun masuk lalu mencuri batu itu dari bawah bantal Joseph yang sedang tidur lena.

Sebaik sahaja mendapat batu itu Metusera terus berlari menuju  ke Tasek Victoria. Dia kemudian menaiki perahunya lalu berdayung menuju pulau kediamannya. Metusera tidak sabar untuk meminta hajatnya dari batu itu. Oleh kerana masih berada di tengah tasik dia menyatakan permintaannya.Fikirnya jika dia mempunyai segala garam yang ada di dunia ini, dia akan lebih kaya. Semua orang akan datang membeli daripadanya dan dia akan menjual dengan harga yang mahal. Metusera pun berkata:.
"Aku minta segala garam yang ada di dunia ini'"

Sejenak itu juga garam turun dari langit bagaikan hujan yang lebat. Sudah tentulah perahu Metusera juga penuh berisi garam dan akibatnya ia tenggelam. Menyedari apa yang telah berlaku Metusera pun menjerit: "Berhenti."  Tetapi segalanya telah terlambat. Perahunya terus tenggelam ke dalam tasik dan Metusera yang tamak itu pun mati lemas. Joseph dan semua suku Kisii terus hidup bahagia. Mereka juga kini lebih bijak dengan menyimpan bijiran dan gandum untuk bekalan musim kemarau. Sejak dari itu tidak ada suku Kisii mengalami kebuluran lagi.


Begitu kisah kalau kita selalu tamak dan haloba atau pentingkan diri sendiri kita akan mendapat kerugian.

************************************









Tiada ulasan: