Selasa, 17 Jun 2014

DONGENG LAGI ( BERTEMU TUAH)




Pada zaman dahulu di negeri Parsi (sekarang bergelar Iran), tersebutlah kisah dua beradik lelaki yang mewarisi harta yang banyak peninggalan ayah mereka. Kedua-dua mendapat tanah yang sama luas.



Pada mula kedua-duanya sama kaya, Tetapi lama kelamaan dari hari ke hari si abang yang bergelar Panjang menjadi miskin.Walaupun saban hari dia bekerja keras,namun  segala tanamannya  tidak menjadi. Ternakannya juga banyak yang mati setiap bulan sehinggakan tiada seekor pun yang tinggal lagi di kandangnya.

Adiknya pula semakin hari semakin kaya. Segala tanamannya subur dan mendatangkan hasil setiap tahun.
" Tentu adikku mempunyai rahsia yang membuat semua tanamannya hidup subur," fikir Panjang.

Pada suatu malam Panjang pun pergi keladang jagung adiknya untuk menyiasat. Sebaik sahaja tiba di pintu pagar ladang adiknya Panjang telah dihadang oleh seorang lelaki tinggi yang belum pernah dilihatnya.

"Siapakah engkau yang berani menghalang aku dari masuk ke ladang adikku?" tanya Panjang
"Akulah yang di panggil Tuah kepada adikmu," jawab lelaki itu. "
Adalah menjadi tugasku untuk menjaga keselamatan harta adikmu ini,"
"Kalau begitu memang bertuah lah adikku," kata Panjang.
"Kalau begitu di manakah pula Tuah aku?".
"Mudah sahaja jawapannya,"
 kata lelaki tinggi itu.

"Tuahmu ada di atas gunung sana. Dia sedang tidur. Itulah kerja sepanjang hari. Kalau kau mahu nasibmu berubah, aku nasihatkan kau ke sana dan suruh dia bangun," terang lelaki itu. Jari telunjuknya menuding ke arah sebuah gunung.

Pada keesokkan harinya, pagi-pagi lagi Panjang pun memulakan pengembaraan untuk mencari Tuahnya. Perjalanannya banyak melalui hutan-hutan tebal yang penuh dengan binatang liar. Pada esoknya sebaik sahaja terjaga dari tidur, Panjang terperanjat melihat seekor singa berada disisinya.

" Tolong janganlah makan aku!" rayu Panjang. "Aku kini dalam perjalanan mencari Tuahku di sebuah gunung. Inilah peluangku yang terakhir untuk mengubah nasibku."

" Baiklah, aku tidak akan makan kau," kata singa. "Tetapi jika kau bertemu dengan Tuah kau itu tanyakan kepadanya mengapa aku tidak pernah puas walau sebanyak mana pun yang aku makan? Tanyakan juga apakah penawarnya?"
Tanpa membuang masa Panjang pun cepat-cepat meninggalkan singa. Setelah sehari berjalan, Panjang singgah di rumah seorang petani  untuk bermalam. Selepas makan malam, Panjang menceritakan tentang perjalanannya mencari Tuahnya.

" Aku tidak pernah mendengar cerita dongeng seperti yang kau ceritakan ini," kata petani itu, "Aku kurang pasti akan kebenarannya. Bagaimanapun sekiranya kau berjaya bertemu dengan Tuah  yang engkau sebutkan itu, tolong tanyakan mengapa ada sebahagian tanahku yang tidak subur.".

Pada keesokkan harinya pula Panjang meneruskan lagi pengembaraannya. Kali ini dia sampai di sebuah kota yang sungguh besar. Ketika dia sedang berdiri di pintu kota itu seorang pengawal membawanya masuk ke istana bertemu Ratu yang menjadi pemerintah di negeri itu. Ratu itu amat tertarik mendengar cerita pengembaraan Panjang yang mencari Tuahnya.
"Jika kau telah bertemu dengan Tuah kau kelak, tolong tanyakan kepadanya mengapakah rakyatku tidak berpuas hati sedangkan aku seorang raja yang adil?"
Esoknya Panjang meneruskan lagi perjalanannya dan akhirnya berjaya sampai ke puncak gunung yang dimaksudkan oleh Tuah kepunyaan adiknya.Alangkah geram hatinya melihat Tuahnya sedang tidur di puncak gunung itu. Oleh kerana marah, Panjang memukul-mukul dada Tuahnya itu dengan genggamannya. Setelah beberapa kali dipukul barulah Tuahnya itu bangun.

"Patutlah aku sentiasa sahaja ditimpa malang," kata Panjang marah. "Rupa-rupanya kau tidur sepanjang hari."
 " Janganlah tuan marah lagi, kini saya telah bangun dan nasib tuan akan berubah," jawab Tuah Panjang.
Setelah mendapatkan ketiga-tiga jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh singa, petani dan Ratu yang ditemui dalam perjalanannya, Panjang pun turun semula dari gunung itu untuk pulang. Setelah beberapa hari berjalan sampailah Panjang ke kota Ratu yang ditemuinya dahulu.

"Tuanku, Tuah hamba memberitahu bahawa tuanku memerlukan seorang lelaki yang membantu memerintah negeri ini," kata Panjang setelah menjamu selera bersama Ratu itu.
"Kalau begitu, kamu kahwinlah dengan beta dan perintah negeri ini di samping beta," kata Ratu itu.
"Tidak mungkin," kata Panjang. Saya telah bertemu Tuah saya dan mesti segera pulang. Rezeki yang melimpah sedia menanti hamba."
Walaupun Ratu itu cuba memujuk Panjang dengan berbagai harta dan kekayaan namun dia tetap tidak mahu mengubah fikirannya. Pada keesokkannya dia pun meneruskan perjalanan dan sampai pula ke rumah petani yang pernah ditumpanginya.
"Pakcik petani yang baik hati, Tuah saya kata sebahagian tanah pakcik itu tidak subur kerana banyak tersimpan harta karun di bawahnya," kata Panjang.

Mendengar akan kata-katanya itu, petani terus menuju ke tanahnya yang dikatakan tidak subur itu lalu mencangkul sambil dibantu oleh Panjang. Setelah beberapa lama mencangkul akhirnya mereka menemui emas, perak dan berbagai batu permata.
"Banyak sungguh harta karun ini, Cukup untuk kita berdua," kata petani. Tinggallah di sini dan kahwinlah dengan anak perempuanku." tambahnya lagi.

"Oh tidak," jawab Panjang. " Saya mesti pulang kerana rezeki pasti datang kerana Tuah saya telahpun  bangun."
Petani itu cuba memujuk Panjang agar mengahwini anak perempuannya  yang cantek itu tetapi tidak dihiraukannya. Panjang terus berjalan menuju ke kampung halamannya. Beberapa hari berlalu sampailah dia di kawasan hutan tebal yang pernah dilalui dahulu. Di situ dia telah bertemu dengan singa yang tidak jadi memakannya dahulu.
Panjang pun menceritakan tentang kisah Ratu yang ditemuinya serta mengajaknya berkahwin. Diceritakan juga tentang petani yang menjumpai harta karun dan tawaran petani itu agar berkahwin dengan anak perempuannya.
"Apakah jawapan kepada pertanyaan aku pula." tanya singa.
"Kata Tuahku, andainya kau bertemu seorang manusia yang amat bodoh, makan saja orang itu dan tentu kau akan puas hati," kata Panjang.
"Setelah mendengar ceritamu," kata singa,"aku pasti bahawa belum pernah dalam hidupku bertemu dengan orang yang amat bodoh sepertimu."
Dengan kata-katanya itu singa pun terus menerkam Panjang dan memakannya.Maka berakhirlah riwayat Panjang- setelah bertemu dengan TUAHNYA!!!!!!

Tauladannya...

JANGAN MENOLAK TUAH YANG PERTAMA  DALAM KEHIDUPAN. KERANA BELUM TENTU YANG SETERUSNYA AKAN MENDATANGKAN KEUNTUNGAN, 


                 *******************************88**********************************

Tiada ulasan: