Sabtu, 13 Februari 2010

MENINJAU KEDATANGAN IMAM AKHIR ZAMAN


Sunnah tidak menentukan identiti penegak kebenaran insan akhir zaman

AMAT menyedihkan apabila ramai pembawa ajaran sesat berani mengakui kononnya merekalah ‘Imam Mahadi’ yang dijanjikan Rasulullah SAW sebagai pemimpin akan muncul pada akhir zaman, ketika dunia terlalu hampir dengan kiamat.

Selepas seorang, seorang lagi tampil dengan pembohongan itu bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Ramai pula umat Islam terpedaya dengan dakyah songsang itu sehingga tergadai akidah masing-masing.

Justeru, persoalannya; siapakah sebenarnya Imam Mahadi mengikut doktrin Islam dan bagaimana untuk mengenal pasti pembawa ajaran sesat yang mempergunakan nama tokoh itu?

Bagi menjawab persoalan itu, Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Profesor Madya Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, berkata Imam Mahadi adalah tokoh yang kemunculannya akan melengkapkan tanda besar kiamat seperti sabda Rasulullah SAW: “Belum lagi terjadi kiamat sehingga bumi ini dipenuhi kezaliman dan permusuhan. Kemudian lahirlah daripada keturunanku atau keluargaku orang yang memenuhi dunia dengan keadilan dan kedamaian. Dunia dipenuhi keadilan seperti dipenuhi kezaliman dan permusuhan sebelumnya.†– (Riwayat Ahmad).

Dr Wan Zailan berkata, kemunculan Imam Mahadi adalah sesuatu yang pasti dalam ajaran Islam malah ada kira-kira 6,000 hadis termasuk hadis sahih meriwayatkan mengenainya.

Menerusi hadis berkenaan, kisah kemunculan Imam Mahadi dapat diceritakan seperti berikut:

Pada hari terakhir sebelum bumi dihancurkan (kiamat), kerosakan dan kemusnahan berlaku di mana-mana; pembunuhan demi pembunuhan berterusan tanpa henti, keruntuhan akhlak dan kekejaman berjalan seiring putaran waktu.

Muncul makhluk kejam digelar Dajjal dan dengan pelbagai kekuatan sihirnya, dia mengaku sebagai Tuhan. Lalu di bawah pengaruhnya, ramai manusia syirik dan terlalu jauh meninggalkan petunjuk agama. Ajaran Allah SWT diingkari secara terang-terangan, solat dan zakat diabaikan, arak menjadi minuman kegemaran, zina dan pembunuhan pula menjadi satu keseronokan.

Terlalu sedikit umat Islam yang berpegang teguh kepada keimanan dan suruhan Allah SWT ketika itu. Kemungkaran, kezaliman dan kesesatan mencapai kemuncak muktamadnya sehingga pelbagai usaha dilakukan golongan beriman tidak lagi mampu mengubah apa-apa.

Penindasan dan kekufuran terus bermaharajalela tetapi golongan mukmin ketika itu tidak berputus asa dalam usaha menangani kemungkaran itu selain menadah kedua-dua belah tangan untuk terus mengharapkan pertolongan Allah SWT.

Lalu ketika itulah Allah menunaikan janji-Nya dan seorang penyelamat diturunkan. Penyelamat itu ialah lelaki yang berasal daripada keturunan Rasulullah SAW menerusi salasilah cucu baginda, Hussain Ali; nama dan akhlaknya mulia seperti Nabi Muhammad SAW.

Penyelamat itu akan memimpin pengikut memerangi kezaliman dan kejahatan yang diketuai Dajjal, seterusnya mengembalikan kesyumulan Islam baik dari segi politik, sosial dan cara hidup ke seluruh dunia.

Dalam usahanya itu, beliau akan berpadu tenaga dengan seorang Rasul sebelum Nabi Muhammad SAW seperti sabda baginda: “Berpalinglah Imam Mahadi dan sesungguhnya sudah turunlah Isa bin Maryam. Nabi Isa itu seolah-olah menitis air daripada rambutnya. Mahadi berkata kepada Nabi Isa: “Majulah untuk mengimami orang ramai ini.†Isa bin Maryam berkata: “Bukankah sudah diiqamatkan solat bagimu?†Kemudian Nabi Isa pun solat di belakang seorang lelaki daripada keturunanku.†– (Riwayat Tabrani).

Demikianlah antara kisah yang akan berlaku ketika kemunculan Imam Mahadi tetapi selain urutan peristiwa itu, ada pelbagai lagi hadis yang dikaitkan dengan tokoh terbabit seperti keadaan fizikal dan peribadinya.

Bagaimanapun, Dr Wan Zailan berkata, untuk membicarakan kisah atau perwatakan Imam Mahadi dengan lebih lanjut adalah sesuatu yang sukar, lantaran ia menjadi isu yang sentiasa menimbulkan konflik terutama membabitkan permasalahan mazhab Syiah dan Sunnah.

Katanya, penjelasan mengenai Imam Mahadi lebih banyak dalam ajaran Syiah berbanding ahli Sunnah. Sunnah tidak menentukan identiti sebenar Imam Mahadi melainkan nama asalnya sama nama Nabi Muhammad SAW, beliau daripada keturunan Rasulullah, hidungnya mancung dan dahinya luas dan tugasnya membawa kebenaran dan keadilan untuk mengganti kezaliman dan kerosakan penghuni bumi pada akhir zaman.

“Syiah pula menakrifkan Imam Mahadi menerusi konsep ‘Imam 12’ di mana Imam Mahadi adalah generasi ke-12 daripada keturunan Rasulullah SAW menerusi cucu baginda, Hussain bin Ali,†katanya.

Syiah berpendapat Imam Mahadi sudah dilahirkan pada 869 Masihi (era pemerintahan Abasiyah) iaitu Muhammad bin al-Hasan al-’Askari. Tokoh itu disembunyikan daripada musuh selepas bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia empat tahun.

Seterusnya Imam ke-12 itu dikatakan dighaibkan Allah SWT daripada penglihatan manusia dan akan kembali dijelmakan untuk memerangi Dajjal dan kemungkaran pada akhir zaman.

Konsep ghaibnya Imam Mahadi daripada pandangan manusia adalah tidak bertentangan dengan Islam dan hukum alam kerana jin juga tidak mampu dilihat manusia. Usia Imam Mahadi yang panjang serta mampu hidup ribuan tahun sehingga dijelmakan pada akhir zaman juga tidak mustahil kerana pemuda Ashabul Kahfi seperti diceritakan al-Quran mampu hidup ratusan tahun, dengan izin Allah.

Sesetengah pengkaji percaya Imam Mahadi masih berada di dunia ini tapi tidak dilihat manusia, beliau dighaibkan Allah untuk meninjau dan mengkaji bagaimana kezaliman berleluasa di dunia ini melewati waktu seterusnya membuat persediaan mental dan fizikal untuk menghadapinya.

Allah mampu menghapuskan kezaliman dengan hanya berkata ‘kun fayakun’ (jadi, maka jadilah). Akan tetapi Allah akan mengembalikan keadilan dan menghapuskan kemungkaran pada akhir zaman secara semula jadi iaitu dengan peperangan seperti Rasulullah berperang menentang kezaliman. Justeru, untuk memerangi kemungkaran akhir zaman yang hebat dengan pelbagai senjata pemusnah termasuk nuklear, Imam Mahadi perlu membuat persediaan.

Dr Wan Zailan bagaimanapun berkata, membincangkan persoalan siapakah Imam Mahadi pasti akan mencetuskan isu perbezaan mazhab yang tidak berkesudahan, justeru kaedah terbaik adalah dengan meninjau falsafah kewujudannya dalam Islam.

“Imam Mahadi adalah inspirasi golongan tertindas yang keadilan akhirnya akan menang dan mengatasi kezaliman, cuma umat Islam tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan pertolongan Allah SWT dan harus berusaha bersungguh-sungguh,†katanya.

Bagaimana untuk mengenal pasti pembawa ajaran sesat yang mempergunakan nama Imam Mahadi dengan mengakui kononnya merekalah tokoh itu? Bagi menjawab persoalan itu, Dr Wan Zailan berkata:

“Imam Mahadi tidak akan muncul pada waktu ini kerana umat Islam masih belum berusaha bersungguh-sungguh menangani kezaliman; banyak perkara mungkar berlaku tetapi umat Islam masih tidak berbuat apa-apa melainkan mendiamkan diri. Selepas berusaha bersungguh-sungguh memerangi kezaliman dan tidak berputus asa, barulah Allah mengutuskan Imam Mahadi sebagai bantuan.â€

Bagi mengelakkan pengaruh sesat golongan ini juga, seorang pengkaji Imam Mahadi pernah menulis: “Dia (Imam Mahadi) tidak mendakwa dirinya Imam Mahadi dan mengajak manusia supaya mengikutnya. Mengikut riwayat, dia sendiri pun tidak tahu yang dirinya Imam Mahadi (yang dinyatakan Allah) dan tidak suka dilantik atau dibaiat orang sebagai al-Imam, tidak suka disanjung orang.â€

Mengikut keterangan pengkaji itu lagi, manusia ketika itu dengan sendirinya akan melantik tokoh itu untuk memimpin mereka memerangi kejahatan tanpa perlu tokoh itu berkempen mendakwa dirinya Imam Mahadi malah masyarakat juga tidak mengetahui yang tokoh dilantik mereka itulah Imam Mahadi. Begitulah mulianya sikap rendah diri dan takutkan Allah SWT yang ada dalam jiwa tokoh itu ketika memegang tanggungjawab besar.

Justeru, jika ada seseorang yang hadir ketika ini dan mengaku pula yang dia itulah ‘Imam Mahadi’, nescaya orang itu membawa ajaran sesat!

Tiada ulasan: