Khamis, 26 Jun 2014

DONGENG LAGI DARI JERMAN PULA..(KISAH TUJUH ANAK TIKUS)








Pada zaman dahulu di sebuah kawasan pendalaman di negeri Jerman, tinggal seorang ibu bersama tujuh orang anaknya. Kesemua anaknya perempuan belaka dan mereka senantiasa kelihatan kemas dan cantik. Setiap hari mereka berpakaian yang sama dengan corak bunga-bunga berwarna-warni. Setiap hari ketujuh-tujuhnya akan mengenakan tudung kepala kecil berwarna merah.

Pada suatu hari ibu kepada tujuh anak perempuan ini terpaksa pergi membeli-belah di bandar untuk membuat persiapan bagi perayaan Hari Easter. Dia tidak dapat membawa kesemua anaknya. Untuk membawa dua atau tiga orang saja tentu yang lain akan cemburu pula. Oleh itu kesemua anak-anaknya itu terpaksa ditinggalkan di rumah.

"Jangan kamu nakal-nakal atau membuat perkara yang boleh mendatangkan bahaya. Tunggu sehingga ibu pulang." pesan ibu mereka. "Oh ya. Satu lagi perkara...jangan usik apa-apa pun di belakang dapur itu!" pesannya lagi.

Pada mulanya mereka semua duduk dalam satu bulatan sambil mendengar yang sulung bercerita. Kemudian mereka menyanyi dan bermain bersama. Tetapi lama-kelamaan mereka merasa jemu kerana semua lagu yang mereka ketahui telah di nyanyikan berulang kali dan semua bentuk permainan telah dimainkan bersama.

Dalam keadaan itu mereka terfikir dan tertanya-tanya tentang apakah yang ada di belakang dapur!. Kata-kata ibu bermain-main di telinga mereka: " Jangan usik apa-apa pun di belakang dapur!"
Akhirnya yang bungsu dari tujuh beradik itu pun mengintai. " Ada satu karung kertas yang besar" katanya dengan kuat. " Ia tergantung dari sebatang paku yang terlekat di dinding."
Kakak-kakaknya pun datang mengerumuninya. Seorang demi seorang mengintai di bahagian belakang dapur itu. Bermula dari yang sulung hinggalah kepada yang bungsu.

Kesemuanya cuba meneka apakah benda di dalam karung kertas berwarna coklat itu. Kemudian seorang demi seorang memegang-megang bungkusan itu untuk meneka apakah kandungannya. Semakin lama semakin bertambah keinginan mereka untuk mengetahui mengenai kandungan karung kertas itu. Akhirnya apabila tidak  tertahan lagi, gadis yang sulung pun perlahan-lahan mengambil karung kertas itu dari belakang dapur. Karung itu di dapati berat dan terpaksa di angkat baik-baik.

Setelah karung itu diletak di atas lantai ketujuh-tujuh adik-beradik berebut-rebut untuk membuka ikatan karung itu.Setelah di buka karung kertas itu mereka pun menuang kandungannya ke lantai. Alangkah gembiranya hati mereka melihat banyak epal dan kacang yang keluar dari karung itu. Sebenarnya buah-buah dan kekacang itu di simpan oleh ibu mereka untuk perayaan Easter.

Tanpa berlengah ketujuh-tujuh adik-beradik itu pun terus duduk di atas lantai sambil  memakan epal dan kacang sehingga mereka betul-betul kenyang. Apabila ibu mereka pulang dari membeli-belah di lihat anak-anaknya sedang duduk kekenyangan di lantai mengelilingi sisa epal dan kulit kacang yang bertimbun. Ini menaikkan kemarahannya hingga tidak dapat menahan perasaan. Dia sedikitpun tidak mengigati akan pantang larang kata-kata menjelang perayaan Easter.



Sudah menjadi kebiasaan orang-orang tempatan menjauhkan diri dari mengatakan perkara-perkara yang tidak baik menjelang Easter. Tetapi ibu ini tetap tidak dapat menahan perasaan marahnya.

"Mengapalah kamu semua ini nakal sangat?" keluh ibu itu. "Sudahlah kamu tidak endahkan pesanan ibu, kemudian kamu habiskan bekalan yang ibu simpan untuk Easter, sekarang apa yang hendak kita makan pada Easter?. Agaknya kamu semua nak jadi tikus. Kalau kamu nak jadi tikus, bagus juga tidak payah susah-susah ibu membasuh pakaian kamu. Ibu juga tidak perlu memasak untuk kamu lagi. Memang lebih baik kamu semua jadi tikus saja," leter ibu dengan marah sangat.

Tiba-tiba satu demi satu ketujuh-tujuh orang adik-beradik itu bertukar menjadi tikus. Tujuh ekor tikus yang kecil lagi comel.  Kejadian tersebut sungguh memeranjatkan ibu itu. Dia tidak menyangka kata-katanya yang kesat itu boleh mengakibatkan keadaan demikian. Oleh kerana terlalu terperanjat dengan apa yang berlaku dia tidak dapat berkata apa-apa selain dari ternganga saja sambil memandang ke arah anak-anaknya yang kini telah menjadi tikus. Ketujuh-tujuh ekor tikus itu pula memandang ke arah ibu mereka dengan wajah yang sedih. Keadaan di dalam rumah itu menjadi sunyi sepi.

Tidak beberapa lama kemudian, kebetulan datang seorang jiran. Memandangkan ketukannya pada pintu tidak mendapat sambutan, jiran itu pun membuka sendiri pintu itu lalu menjenguk ke dalam rumah. Perbuatannya itu mengejutkan ibu itu dan anak-anak tikusnya. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, seekor demi seekor anak tikus keluar dari rumah lalu berlari menuju ke arah satu kawasan tanah lapang di mana terdapat sebuah kolam. Ibu itu pula tidak tahu apa yang perlu dibuat melainkan mengikut saja dari belakang.

Tikus-tikus itu terus berlari menuju ke arah tanah lapang itu dan berhenti di tepi kolam. Kesemuanya kemudian menoleh ke belakang untuk melihat ibu mereka untuk kali terakhir. Apabila ibu mereka menghampiri tepian kolam itu, seekor demi seekor tikus terjun ke dalam kolam itu dan tidak timbul-timbul lagi. Ibu mereka yang sejak awal lagi berada dalam kebingungan bertambah sedih bercampur terperanjat dengan kejadian terakhir ini. Dia hanya terdaya memerhatikan tikus-tikus atau anak-anaknya itu terjun ke dalam kolam.

Ibu itu terus berdiri merenung ke dalam kolam tanpa bergerak sedikitpun. Lama-kelamaan dia pun bertukar menjadi batu. Sejak dari hari itu cerita tujuh anak yang bertukar menjadi tikus dan ibu yang bertukar menjadi batu, tersebar luas. Batu di tepi kolam itu pula dikatakan masih kekal ke hari ini. Ada orang bercerita pernah lalu di kolam itu pada tengah malam waktu bulan terang dan melihat tujuh ekor tikus yang keluar  dari kolam itu untuk bermain dan menari keliling batu itu.

Kononnya mengikut kepercayaan ramai, satu hari nanti akan datang seorang ibu bersama tujuh orang anaknya. Kesemua anaknya itu lelaki dan usia setiap anaknya sama dengan tujuh kanak-kanak perempuan yang menjadi tikus. Perempuan yang mempunyai tujuh anak lelaki ini dikatakan akan menyentuh batu berbentuk manusia di tepi kolam itu yang kemudian akan bertukar menjadi manusia semula. Kemudian dari kolam itu pula akan keluar tujuh kanak-kanak perempuan dengan pakaian yang mereka pakai dahulu iaitu baju yang sama dengan corak bunga-bunga berwarna-warni.  Setiap kanak-kanak perempuan ini akan berpegang tangan dengan seorang kanak-kanak lelaki dan mereki akan berjalan bersama-sama sambil di ikuti oleh dua orang ibu yang gembira.


*****************************88******************************


Tiada ulasan: