Isnin, 7 Jun 2010

CINTA BERTAHUN, KAHWIN HANYA DUA TIGA BULAN




Sekarang ni sudah tiba musim cuti sekolah. Maklum, bila musim cuti je yang pasti
melambaklah jemputan kahwin. Utara selatan timur barat ada aje yang menjemput
maklumlah ramai kenalan. Tak menang diri nak pergi mana satu, walaupun kadang-
kadang terasa penat juga kehulu kehilir menerima jemputan tersebut.

Kalau mendengar kisah dulu-dulu, anak gadis langsung tidak ada hak memilih pasangan
hidup. Semuanya ditentukan oleh orang tua.Memang lumrah ketika itu anak gadis
dikahwinkan pada usia 15 tahun, masih muda dan selalunya majlis pertunangan
anak gadis dibuat tanpa kerelaan si gadis. Dik kerana menghormati ibu bapa gadis
selalunya menerima walaupun tidak puas hati.

Gadis-gadis pinggitan selalunya tidak ada peluang untuk memilih jejaka idaman. Kalau
ada yang tertarik dengan mana-mana budak lelaki yang sama mengaji al-Quran, jangan harap
dapat kahwin. Dan jangan sekali-sekali anak gadis berani memberitahu seperti ini kepada
orang tuanya: "Mak,kita berkenanlah dengan si polan tu yang duduk kampung seberang
tu, kalau dia masuk meminang kita mak setuju ke?". Yang pastinya terbeliaklah biji mata
emak mendengar kata-kata anak gadisnya. Kalau dia sedang mengunyah sirih dengan
songel tembakau, pasti songel itu akan terpelanting dari mulutnya. Dan yang pastinya
terdengar jerkahan emak kita menanyakan siapa si polan tu dan macam-macam lagi.
Betul-betul macam ibu tiri.


Jodoh anak gadis masa dulu-dulu selalunya dah ditentukan sebelum lahir lagi anak mereka,
macam perkara biasa zaman dulu jodoh ditentukan ketika bayi masih dalam kandungan
ibu. Perbualan seperti ini bukan luar biasa: "Awak, kalau anak kita yang lahir nanti lelaki, dan
anak saya yang akan lahir pulak perempuan, apa kata kita jodohkan mereka bila besar nanti?"
Kalau betul seorang lelaki dan seorang perempuan, apa salahnya kita berbesan, Lagipun
kita sudah kenal lama, saya buat awak macam 'sedara', bukan orang lain!". Itulah kahwin
dulu-dulu, setengahnya tanpa pengenalan awal, tanpa cinta, ramai juga tanpa apa-apa
perasaan sebab kahwin atas paksaan orang tua, tetapi bila diijabkabulkan perkahwinan mereka
kekal hingga akhir hayat. Sekali dilafazkan ' Aku terima nikahnya...." bahtera kehidupan mereka
kebal menghadapi apa juga gelombang. Cinta yang bersemi dan tumbuh selepas kahwin terbukti
lebih bertahan.

Kalaulah tradisi silam itu diteruskan zaman sekarang, bayangkan apa akan terjadi, ramai ibu
bapa mati tersedak atau terkancing gigi sebab anak-anak menolak bakal jodoh pilihan orang
tua, atau ramai anak teruna dan anak dara lari keluar negara sebab tidak mahu dikahwinkan
secara paksa oleh orang tua. Hakikatnya zaman sekarang hak memilih pasangan hidup ditentukan oleh anak dara dan anak teruna, bukan lagi orang tua. Kalau dulu anak menerima
sahaja cadangan orang tua, sekarang orang tua pula yang terpaksa ikut keputusan anak.
" Saya sudah berkenan dengan si Polan yang menjadi Cikgu di Sekolah sekian-sekian,rombongan
dia akan masuk meminang bulan depan, emak dan ayah terima sahajalah, kita pun sudah
lama bercinta."

Apabila sudah saling memahami sudah mengetahui serba sedikit kelebihan dan kelemahan,
lalu sama-sama memutuskan untuk berkongsi hidup, barulah diberitahu kepada orang tua.
Dalam banyak hal orang tua menerima, asal sahaja bakal menantu disahkan bukan penagih
dadah atau terlibat dalam mana-mana kegiatan jenayah, atau kalau boleh biarlah menantu
warga Malaysia,bukan 'Abang Bangla' tau jejaka dari Lombok. Tetapi cinta sebelum kahwin
tidak semestinya satu jaminan bahawa perkahwinan boleh kekal hingga ke akhir hayat. Ada
pasangan yang bercinta sakan kalah filem Hindustan tetapi setelah sah menjadi suami
isteri banyak pulak songehnya.Waktu bercinta semua OK, setelah berkahwin semua KO.
Waktu cinta semua manis,suara manis,budi pekerti manis, kentut pun kedengaran merdu
macam buluh perindu. Tetapi setelah kahwin banyak yang pahit,semua rasa payau, kentut
pun sudah kedengaran seperti letupan bom.

Suami isteri saling menuduh, suami kata ketiak isteri hangit macam petai lah, isteri pulak
kata suami tidur berdengkur seperti injin kereta kebal,Tiba-tiba sahaja yang indah ketika
bercinta dulu semua bertukar jelak. Tidak hairanlah ada pasangan yang bercinta sakan,
berkahwin dengan majlis gilang gemilang, kenduri habis beratus ribu ringgit, tup-tup
tidak sampai dua tiga bulan menjadi suami isteri sudah bercerai berai.

Sebenarnya sama ada cara dulu-dulu atau cara moden, bercinta dulu atau bercinta kemudian, pilihan orang tua atau pilihan sendiri, perkahwinan tetap ada cabaran, kalau masing-masing
boleh bertolak ansur dan saling bersedia untuk memperbaiki diri, cabaran itu akhirnya akan
membawa kebahagian.




...............................................................................








Tiada ulasan: