Isnin, 5 Oktober 2015

SEMUGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROH AYAH ANGKATKU.

Innalillahhiwainnaillahhirojiuun...Ayahanda Sulaiman Hassan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7 pagi di Hospital Putrajaya bertepatan hari Jumaat 2 okt 2015..
Kepada NYA kita datang dan kepada NYA juga kita dikembalikan.
Semuga Roh ayah Cikgu Sulaiman Hassan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.


Aku mendapat berita yang ayah angkatku sedang sakit tenat , pada 28hb Okt bersamaan hari Isnin aku bergerak dari Kampungku menuju ke Kajang (Country Height). Dua hari aku luangkan masa bersama Arwah dan aku dah dapat rasakan yang ayah tidak akan lama mengecapi hayat di dunia yang fana ini.

Memang sedih juga.. tapi yang pergi pasti pergi.. semua sudah ketentuan dari Illahi. Redha dan berdoa untuk arwah di sana.

Sempat juga aku abadikan kenangan bersama arwah.....




Semasa hayatnya Arwah banyak menyumbangkan kebajikan untuk anak2 yatim.. Pernah aku mengikuti beliau melawat setiap rumah anak2 yatim di Kluang Johor, Rembau Negeri Sembilan, rumah anak2 yatim Ulu Klang Selangor dan banyak lagi. Paling banyak sumbangan Arwah ialah Kebajikan anak2 yatim Aceh yang menjadi mangsa Tsunami 2004 dahulu. Walaupun Arwah telah menjangkau usia lebih 80an tetapi Arwah tetap bersemangat meneruskan aktiviti kebajikan untuk Anak2 Yatim dibawah seliaan Arwah.




Isnin, 25 Mei 2015

HIDUPKU HANYA ARAHAN MAMA..KENAPA!

Aku anak kelahiran MAMA
hariku mula mencerah mentari
tapi kakiku masih diselaputi embun
MAMA selalu berkata
yang ini jangan
yang itu tidak boleh
aku bagaikan patung opera
yang mengikut telunjuk pengarahnya
itu
ini
begitu
begini
lalu aku jadi pelakun yang buta
melakunkan lakunan  hidup bersuluhkan MAMA
menjadikan jalan cerita ini dicengkam di jemarinya
pabila memtariku menyisi letaknya
aku cuba berlakun sendiri
pabila MAMA berkata lagi
itu
ini
begitu
begini
lalu keluarlah bicara
seorang aku
tidak
tidak mungkin
tak mahu
alam sekitar seakan berkata
jangan begitu
turuti perintahnya
lalu aku dikatakan si pelakun  derhaka
dan kini mentariku menyerong ke barat sinarnya
aku masih tidak mengerti
dimana hakku sebagai pelakun asli
ahhhh....alangkan sukarnya hidup seorang pelakun
yang asyik mengikut telunjuk dan arahan
TANPA KEBEBASAN...!!!!!






Isnin, 27 April 2015

SELAMAT ULANG TAHUN PUTERIKU

Maafkan Ibu anakku sayang
Kerana di hari ulang tahun kelahiranmu
aku tidak bisa mengalun sebuah lagu
cuma yang bisa ku coretkan
hanyalah  sebuah puisi shadu buatmu

Jiwa ini merintih kalbu
menatap sekujur wajah ayu
yang kian membesar
sewaktu telapak kakimu hanya dua ulas jari jemariku
tawa tangis mu dikala itu sehingga membiru tubuhmu
di kala aku masih mencari sesuap rezeki

Sampai tikanya
usia ku dan kamu makin meningkat
di julang diatas lembayung dini hari
siang malam bertukar ganti
wajahmu sayang kian ayu
seayunya tingkahmu
walaupun tampak tegas
tetapi sebenarnya punya kelembutan

Disebalik kelembutan ini
kamu bisa menjadi seperti lilin yang sering
menerangi kegelapan
sepanjang waktu dikau diperlukan
memayungi kehidupan insan
yang sering perlukan khidmatmu
Kini walaupun kelewatan ..

Izinkan aku mengucapkan
Selamat Berulang Tahun Puteriku
2015 genaplah usiamu 32 tahun
semuga dikau dianugerahi kekuatan
kesabaran dan kecekalan
dalam mengharungi kehidupan
dan memberikan khidmat
buat insan.....

BERPIJAKLAH DIBUMI NYATA

Terhidu nafas lelah seorang lelaki
menjejak hidup maha panjang
terdengar desah suara seorang perempuan
menangisi kemelut usia diranjang

Hadirmu bagaikan
air yang mengalir
angin yang menderu
embun yang menitis
bunga yang menguntum
kuntum yang mengembang
kembang yang mewangi
hujan yang merintik
awan yang memutih
riak yang mengalun

ombak yang membelai
desir yang mendayu
sepi yang merindu
kabus yang mengabur
malam yang menghening
bulan yang mengerdip
bayang yang menanti
daun yang melambai
pucuk yang menghijau
tidur yang memukau
mimpi yang mengasyik
cinta yang mengamit
ingatan yang memanjang

Laksana laluan kealam fana
tetap pergi jauh ke sana
akhirnya desah nafas terhenti
tanggisan kian lesu
lenyap bagai kabus di tiup bayu...
Ohh insan
pergilah..
tiada yang sudi mengamit
pulangmu tiada diundang
pergimu tiada yang menghalang
Lantas lamunanmu terhenti
akhirnya engkau bertapa keujung lembah
buat selamanya.....




........

Jumaat, 24 April 2015

PEMERGIAN ABANG TIRI KU RAMLI BIN MAT PULUN



Ketika coretan ini ditulis, aku bagaikan tergamam sebentar , menerjah panggilan dari suara halus nyaring adik bungsuku.
" Yong ! Abg Ramli dah meninggal"...." pagi tadi dalam pukui 10.30 gitu. dia meninggal di Hospital Ipoh, dan akan dikebumikan di kuburan Cangkat Larang"...
Terdiam sebentar .. aku menerawang ke alam lain seketika..
Innalillah hiwainnaillah hirajiunn.. itu ayat yang dapat aku ucapkan selepas sedar.




" Tapi Ina , yong tak dapat balik Ipoh la".. "apa pun cuma doa dari yong untuk Arwah Abg Ramli. abg tiri kita di cucuri rahmat dan di tempatkan dikalangan orang yang di kasihi Allah"

" Arwah jatuh pagi tadi dan terus koma, doktor kata nak buat rawatan susulan memogram tetapi, sukar sedikit kerana jangka hayat beliau hampir 20% sahaja boleh bertahan".." Ina balik rumah ambik emak dan pada asalnya emak buat tak tau je."..

"Ina pujuk2 mak supaya menengok Abg Li Yong! tapi Mak berdegil , akhirnya Mak cakap, "  aku nak pergi spital tu macam mana, keta pun tak de, tak sior aku naik moto gan kamu Ina. Bior la dia.". Tapi kemudian anak Abg Ramli datang menjemput Mak untuk ke hospital yong". Bila nengok Abg Li masih koma dan rasa simpati dan penuh kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.. Mak ucapkan.."Ramli mak maafkan kamu, kamu idak salah apa-apa dengan mak"..

Yong!.. sedih bebeno Ina nengokkan keadaan Mak kita"..dia menanggis depan Abg Li.. tak penah Ina nampak dia nanggis macam tu.. mungkin dia rasa sedih sangat2 kut sebab selama ni depa dua orang selisih faham"..Ina rasa syukur sangat Yong sebab Mak dah maafkan Abg Li"...itulah ucapan terakhir dari panggilan adikku.. dan aku memang terasa juga akan kehilangan abang tiriku yang selama ini banyak sejarah suka duka dengan arwah.

Aku dengan arwah ni tak berapa rapat. Sebab kami dilahirkan berlainan bapa. Mungkin kerana tidak akrab antara arwah dan aku, banyak berbezaan pendapat yang kami bahaskan namun apapun biarlah kisahku dengan arwah tersimpan seribu satu cerita sehingga kehujung nyawa.



*****************************




Jumaat, 17 April 2015

AKHIRNYA DISINI...

Tubuh berkeringgat membahang
tiada angin, tiada udara
tiada satu pun yang menyegarkan
suhu semakin membara
di kaki langit
dimana bintang
bulan dan mentari
tiada satu pun kabus atau awan
kelam dan tiada mendung
yang dapat menyejukkan
Ohhhh
bila kah akan tiba waktunya
bukan kudratmu menentukan
hanya pasrah dan tawakkal


Lalu tiba-tiba suhu menjadi suram
sesuramnya hati seorang penanti
menanti waktu kian sukar
sulitnya perjalanan ini
usia semakin tua
namun dimanakah akan ada cahaya
silalah kunjung tiba wahai bahagia
setiap sudut seperti carca marba
kelam, lesu, longlai
tiada wajah
tiada kata-kata




hanya yang ada desiran hembusan nafas
yang lemah tiada noktah
bila berakhirnya sengsara ini mungkin
esok lusa,, atau bulan atau tahun
tetapi yang pasti duka lara ini tetap ada
tetap berkubur dalam kesedihan
Wajah kesedihan tidak luput

Wahai hidup....
dimana tujuanmu sebenarnya
tiada bicara yang bisa merungkainya
jasad nan binasa
rohmu menerjah menerpa tanpa arah
persimpangan liku-liku bersimpang siur
pedihnya.... tiada noktah penghujungnya

hiduplah wahai jasad
jangan dibiarkan jasadmu tiada bertuan
jadikan dirimu yang ampuh
bisa menerobak setiap dosa dan noda
halusi haluan tuju mu yang abadi
kekal menjadi jasad yang di hormati
temanmu roh tiada berhenti
dari mencari yang HAQ
tanpa bertemankan dirimu wahai jasad
engkau dan dia tiada lagi sehaluan dan seiring
masing-masing perlu mencari dan merungkai
hidup dan perjalanan yang KEKAL
dimana kesudahannya
penghujung perjalanan nanti
biar pun darah mengalir lesu
dalam hakikat hidup tanpa arah tuju

Akhirnya kedua-dua terus hilang
dalam genggaman yang kekal abadi
tiada lagi suara..
wajah....
desiran nafasmu...
gelak ketawamu...
lenggok langkahmu kaku
semuanya tinggal kenangan.........





Jumaat, 13 Mac 2015

RONDA-RONDA KE PULAU SINGA


Seingat aku hampir 19 tahun aku tak ketemu saudara aku kat Woodland dari Kota Singa...Peluang terbaik berjumpa juga akhirnya disebabkan anak lelaki aku yang no 3 dapat tiket murah untuk melawat USS (Univesal Studio Singapura).
Terbaiklah kemajuan yang di nikmati semasa ke Pulau Sentosa yang mana ketika aku pernah ke sana lebih kurang pada tahun 1981 , pulau ini ketika itu tiada apa-apa yang menarik. Kini Pulau Sentosa telah banyak berlaku perubahan yang menarik pelancung untuk bertandang kesana.







Anak perempuan sulungku.. dan anak lelakiku kali terakhir ke Singapura masing-masing bersekolah rendah.. tetapi kini dorang telah berumah tangga dan punya anak. Betapa cepatnya masa berlalu..



Tiap kali aku kerumah Shima pasti juadah makanan yang berat-berat disajikan untuk aku. Terima kasih atas hidangan sup tulang merah kambing dicicah dengan roti john dan juga martabak Singapura.




Amboi happynya cucu aku si Qaseh naik MRT...




Menantu sulung Ni pulak berangan nak jadi superman ...







Pulau yang dulunya pada era tahun 1980 yang tidak punya apa-apa daya tarikan...kini berbagai-bagai kemudahan telah dilakukan...









Walaupun pantainya ciput je bersebelahan dengan pelabuhan antarabangsa namun kebersihan dan keindahan semula jadi masih dikekalkan.






Tiba-tiba muncul pulak seekor burung merak..entah dari mana datang.. memang jarang dapat ketemu burung ni sebab selalu dia menyorokkan dirinya.




Patung singa... seperti patung yang didirikan untuk tujuan pemantauan aje....




















Kalau di ikutkan dengan kudrat orang muda, satu pulau aku jelajah.. Tapi apa nak buat dik kerana kaki ni masih sakit tidak banyak yang aku terokai...... setakat ni je gambar-gambar yang dapat aku titipkan disini... sehingga separuh jalan terpaksa menggunakan kerusi roda...




























Bukan nak puji negara orang cantek dan bersih.. tapi memang itu lah realitinya. Sistem pengangkutan dan undang-undang jalan raya mengikut peraturan.. Memang sejak dari tahun 1980an sampai sekarang peraturan tetap tidak berubah..Disiplin rakyat mereka sangat baik...














Sepanjang dua hari aku melawat Pulau Singapura dan Pulau Sentosa.. aku dapat menilai bahawa setiap kemajuan tak kira siapa pemerintah atau pentadbir dalam sebuah negara, disiplin dan etika perlu untuk menjadikan rakyat sesebuah negara menghormati undang-undang.
 Contohnya bila aku fikirkan Pulau Jerjak ....saiz keluasan antara Pulau Sentosa dan Pulau Jerjak hampir sama atau pun pulau2 yang berselerak di negara kita....mungkin satu masa nanti akan ada sesuatu  pembangunan yang lebih hebat dari yang terdapat di negara luar..